KeTtiKa AkU BerCheRiTeRa...

Monday, April 9, 2012

Kehidupan: Bahagia Itu Pilihan..

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamu'laikum...



Kehidupan dan insan, tiada yang dapat dipisahkan, hanya hingga kematian menjemput insan. Dengan kehidupan, insan meniti hari-hari dalam pelbagai rasa dan suasana. Ada derita, ada bahagia. Ada masa mewahnya, ada masa fakirnya. Itulah kehidupan yang pasti dan mesti dilalui setiap insan kerana itulah juga Sunnatullah yang telah ditetapkan olehNya Jalla wa 'ala.

Iman Dan Kehidupan

Dalam melayari dan meniti hari-hari kehidupan, insan perlu menggunakan hati, lisan dan anggota badan (al-jawarih) untuk memenuhi kehidupan ini. Dengan hati, insan dapat menyelami apa rasa yang tersemat dalam setiap perjalanan kehidupan. Sedihkah? Bahagiakah? Gembirakah? Tenangkah? Dengan lisan, insan mengekspresikan apa yang dirasa oleh hati itu, sama ada meluahkannya ataupun membicarakannya bersama insan yang lain. Juga dengan anggota badan (al-jawarih), insan membuktikan apa yang dirasakannya. Bila rasa hati itu gembira, pasti setiap tindakan dan langkah perbuatan menggambarkan kegembiraan. Senyuman diukir di bibir, tangan sentiasa menghulur salam apabila bertemu, dan begitu juga sebaliknya.

Sebahagian apa yang dilalui insan dengan sunnatullah (hukum alam) itu tidak akan dirasa sempurna kenikmatannya jika tiada syariatullah (kawalan Allah). Insan apabila tiada syariatullah, akan menikmati hidup ini dengan semaksimum yang mungkin apabila hati merasa gembira dan akan mencemuh hidup ini dengan semaksimum mungkin apabaila hati ditimpa derita.

Hanya dengan kawalan Allah sahaja dapat menyekat had yang perlu dilalui oleh insan dalam kehidupannya. Iman itulah kawalan Allah. Iman ini berkait rapat dengan sunnatullah ciptaan insan di mana insan memerlukan hati, lidah dan anggota badan untuk melayari hari-harinya. Iman menjaga hati, lidah dan anggota badan ini. Iman tersemat di hati, dan diucapkan oleh lisan dan selebihnya dibuktikan dengan tindakan oleh anggota badan. Dengan iman, insan dapat mengawal kegembiraannya, dengan iman juga insan dapat menghadapi detik-detik kesedihannya.

Iman Menjemput Bahagia

Dalam hari-hari yang dilalui oleh setiap insan, ada bahagia yang bertahta dan ada duka yang bertandang. Pasti. Insan, apabila bahagia yang memenuhi ruang harinya adalah indah-indah belaka. Insan, apabila duka pula yang meliputi ruang harinya adalah saat kesempitan hidup terasa semahunya.

Namun, dengan iman, bahagia mahupun duka, adalah bahagia juga yang dirasa. Sabda Nabi Muhammad saw:

"Sungguh ajaib dalam urusan orang MUKMIN! Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara itu tidak berlaku (kepada sesiapa pun) melainkan kepada orang mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan, lantas dia bersyukur dan itu adalah kebaikan baginya. Dan sekiranya dia ditimpa kesusahan, lantas dia bersabar (dengan kesusahan itu) dan itu adalah kebaikan baginya."  (Hadith Riwayat Muslim)

Hebat kehidupan orang MUKMIN ini, sungguh hebat sungguh ajaib. Segala apa yang dilalui, diharungi, ditempuhi dalam hari-harinya adalah hanya KEBAIKAN sahaja. Apa jua emosi dan perasaan, apa jua situasi dan keadaan, segalanya membawa kebaikan kepadanya. "The REAL Positive Thinking" oleh orang yang berIMAN. Hanya orang berIman, itu sabda Baginda saw.


Kesenangan Dan Kesempitan Itu Adalah Ujian Allah

Kebanyakan insan, di saat dia merasa senang dengan kemewahan, keberadaan dan kecukupan, di saat itulah dia merasa bahawa dia adalah mulia. Begitu juga keadaanya insan di saat dia dirundung kemiskinan, kefakiran, ditimpa pelbagai musibah dan kesusahan, dia merasa dirinya dihina dan jelek. Allah swt menegur insan yang alpa dengan kehidupan ini dalam surah al-Fajr ayat 15-17:

"Maka adapun manusia apabila Tuhan mengujinya dengan keMULIAan dan memberinya keSENANGan, maka dia berkata, 'Tuhanku telah memuliakanku.' Namun, apabila Tuhan mengujinya dengan memBATASI rezekinya, maka dia berkata, 'Tuhanku telah menghinaku'.Sekali-kali TIDAK!"

Solusi Kepada Kehidupan Insan

Diriwayatkan bahawa suatu hari Nabi Muhammad saw berjumpa dengan para sahabat baginda, lantas baginda bertanya:

"Bagaimanakah keadaanmu pada pagi ini?"

Para sahabat menjawab:

"Pada pagi ini kami tetap berIMAN kepada Allah swt."

Nabi saw bertanya lagi:

"Apakah tanda iman kalian?"

Para sahabat menjawab:

"Kami berSABAR atas musibah, berSYUKUR atas kelapangan dan REDHA dalam menerima qadha' (ketetapan Allah)."

Dalam hadith yang lain, Nabi saw berpesan:

"BerIBADAHlah kamu kepada Allah dengan IKHLAS dan REDHA, apabila kamu tidak mampu maka berSABARlah kamu terhadap perkara yang tidak kamu sukai, kerana di sebalik hal itu terdapat kebaikan yang banyak."



Kunci dalam melayari kehidupan ini adalah dengan berSYUKUR dan berSABAR. Dan bagaimana pula mahu melahirkan rasa syukur dan sabar ini? 

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmuzi, daripada Ibn Umar r.a, Rasulullah saw bersabda:

"Dua perkara, jika keduanya dimiliki seseorang, maka Allah mencatatkannya sebagai orang yang berSYUKUR dan SABAR, sedang orang yang tidak memiliki kedua-duanya, maka Allah tidak mencatatkannya sebagai orang yang tahu bersyukur dan bersabar. Sesiapa yang meLIHAT (memBANDINGkan) KUALITI AGAMA dirinya dengan orang yang LEBIH TINGGI kualiti agamanya dan membandingkan DUNIAnya dengan orang yang LEBIH RENDAH, kemudian diam memuji Allah atas kelebihan yang dimilikinya itu, maka Allah akan mencatat dia sebagai orang yang tahu bersyukur dan sabar. Dan sesiapa yang membandingkan kualiti agama dirinya dengan orang yang lebih rendah dan membandingkan dirinya dengan orang yang lebih tinggi (dalam urusan dunianya), kemudian merasa gundah kerana belum memperoleh setinggi (dunia orang itu), maka Allah tidak mencatatnya sebagai orang yang tahu bersyukur dan tidak sabar."

Untuk BAHAGIA itu insan perlu BERSYUKUR. Untuk berSYUKUR pula insan itu perlu meNILAI kualiti agama yang ada pada dirinya dan berpada-pada dengan kehidupan dunianya. 

Untuk BAHAGIA itu juga insan perlu BERSABAR. Untuk berSABAR, insan perlu ada sikap YAKIN dan REDHA pada ALLAH AZZA WAJALLA.

Untuk menjemput SYUKUR dan SABAR itu ke dalam jiwa insan memerlukan IMAN. Dengan IMAN pasti ada BAHAGIA.

BAHAGIA ITU PILIHAN, terserah kepada insan untuk menggapainya...

wallahu ta'ala a'lam..

"Ya Allah jadikanlah kami hambaMu yang sentiasa bersyukur dan hambaMu yang sentiasa bersabar." ameen~

insan yang perlu disedarkan,
-cheguostat-

© ezshah haizum basfary
█║▌│█│║▌║││█║▌║▌║

0 comments:

Post a Comment